Pernahkah anda memberi pinjaman atau menyerahkan barang perkhidmatan kepada pelanggan tetapi anda tidak menerima semula apa-apa bayaran mengikut waktu yang telah ditetapkan? Anda tak tahu bagaimana nak menuntut hutang anda setelah bermacam cara anda telah lakukan termasuk menelefon tidak berjawab, Whatsapps disekat dan sebagainya? Sebenarnya terdapat cara untuk membuat tuntutan hutang tersebut. Salah satu cara untuk membuat tuntutan hutang adalah melalui pemfailan saman di mahkamah sivil. Perkongsian kali ini ingin menerangkan tentang lima kelebihan dan lima kelemahan memfailkan tuntutan saman hutang di mahkamah sivil. Sebelum menjelaskan secara lanjut, anda perlu memahami apa yang dimaksudkan dengan hutang tertunggak. Apa itu hutang tertunggak?
HUTANG TERTUNGGAK
Anda perlu mengenalpasti hutang tertunggak yang boleh difailkan di mahkamah. Hutang tertunggak ini berbeza dengan hutang biasa. Hutang tertunggak adalah hutang yang lewat dibayar misalnya jika ada seseorang membuat perjanjian untuk memberikan pinjaman dengan orang lain, lalu peminjam gagal membayar dalam masa yang ditetapkan maka kelewatan ini menyebabkan hutang tertunggak. Sebagai contoh, sekiranya anda berjanji hendak membayar pada setiap 30 atau 31 hari bulan setiap bulan lalu jika anda tidak membayar semula apabila masuk 1 hari bulan seterusnya maka ia telah dikira tertunggak serta dikira melanggar kontrak.
Dalam konteks jual barang atau perkhidmatan, peniaga akan mengeluarkan invois yang mana barang perkhidmatan ini dah diberikan. Invois perlu dibayar dalam masa 14 hari. Sekiranya masuk hari ke-15 dan kalau masih belum membuat pembayaran maka ia dikira sebagai hutang tertunggak. Apabila berlakunya kegagalan untuk membayar dalam masa yang telah ditetapkan maka undang-undang dah mengira sebagai satu perlanggaran kontrak, jumlah yang belum dibayar itu boleh dituntut di mahkamah sivil. Dalam membuat tuntutan ini terdapat lima kelebihan dan lima kelemahan.
Ramai kurang jelas apakah itu saman sivil. Kebiasaan saman yang didengar adalah saman trafik, Saman trafik ini kebiasaannya akan dimulakan oleh penguatkuasa apabila seseorang melakukan kesalahan trafik dan agensi kerajaan seperti polis serta JPJ akan mengeluarkan saman atas kesalahan tersebut. Saman sivil pula adalah saman yang boleh dimulakan oleh sesiapa, “civilian” iaitu terhadap siapa-siapa juga yang melakukan kesalahan terhadapnya. Jadi apabila seseorang memulakan saman sivil, tuntutan ganti rugi akan dibuat terhadap orang yang melakukan kesalahan kepada kita. Ganti rugi ini termasuklah ganti rugi berbentuk kewangan, bukan berbentuk kewangan seperti tindakan atau halangan yang diminta kepada mahkamah untuk meminta orang tersebut berhenti melakukan kesalahan atau menghalang perbuatan seseorang.
LIMA KELEBIHAN UTAMA MENUNTUT HUTANG DI MAHKAMAH SIVIL
- Tuntutan yang Dibuat di Mahkamah Akan Menjadi Suatu Tuntutan yang Direkodkan Secara Rasmi.
Apakah yang akan berlaku sekiranya tuntutan ini direkodkan secara rasmi dalam fail mahkamah? Apabila orang yang hendak disaman ingin memasuki hubungan perjanjian kontrak dengan pihak lain seperti memohon pinjaman, nama orang yang hendak disaman atau dikenali sebagai defendan akan muncul di dalam CTOS sebagai orang yang sedang diambil tindakan undang-undang. Kesannya, sebagai contoh jika seseorang yang hendak disaman itu ingin membuat permohonan pinjaman di bank, bank dapat melihat rekodnya di dalam CTOS dan apabila tapisan dibuat maka akan menyebabka kesukaran untuk mendapatkan kelulusan pinjaman. Sekiranya defendan kalah dalam kes tuntutan saman yang sedang berlangsung, dikhuatiri defendan tersebut tidak mampu untuk membayar semula pinjaman yang akan diberikan oleh pihak bank itu tadi.
Contoh lain juga kalau suatu syarikat hendak membuat perjanjian dengan suatu syarikat lain yang melibatkan suatu jumlah kewangan yang substansial biasanya jika melibatkan peguam, peguam akan membuat semakan dahulu di CTOS dan hal ini akan menyebabkan halangan kepada syarikat yang sedang diambil tindakan untuk memasuki perjanjian dengan syarikat yang lain. Peguam mungkin akan menasihatkan anak guamnya untuk tidak meneruskan perjanjian dengan syarikat yang sedang disaman kerana dikhuatiri syarikat tersebut akan muflis. Kelebihan pertama ini sebenarnya dapat membantu untuk menghalang pihak yang disaman daripada melakukan hutang-hutang baru yang lain dan juga membantu anda untuk menyemak rekod seseorang atau sesebuah syarikat sekiranya mereka sebenarnya sedang diambil tindakan.
- Anda Boleh Menuntut Amaun yang Lebih Dari Jumlah yang Ingin Dituntut.
Kenapa kita boleh menuntut amaun yang lebih ini? Kerana apabila kita menghadapi kesukaran disebabkan hutang lewat bayar, segala kerugian yang berlaku sepanjang tempoh kelewatan itu kita akan dikira dan akan dimasukkan juga dalam tuntutan saman tersebut. Kalau jumlah tuntutan yang tertunggak itu katakanlah bernilai RM30,000.00 lalu berlaku kelewatan pembayaran hutang yang berlaku menyebabkan operasi anda tergendala hingga menyebabkan anda terpaksa menanggung bayaran lain atau anda terpaksa membuat pinjaman dan sebagainya. Segala ganti rugi ini akan dituntut secara bersama-sama hutang tertunggak tersebut melalui saman yang akan dimulakan. Sebagai contoh anda boleh menuntut sehingga RM35,000 atau RM40,000 sebagai tuntutan tambahan dan termasuklah juga ganti rugi lain yang boleh dituntut sebagai contoh apabila anda mengalami tekanan dan sebagainya termasuklah segala perkara yang menyukarkan anda untuk diambil kira dalam saman ini.
- Memberi Peluang Kepada Peminjam untuk Langsaikan Hutang Segera
Apabila pemberi hutang telah memulakan suatu tindakan tuntutan saman, hal ini secara tak langsung akan menggambarkan keseriusan pemberi hutang untuk menuntut hutangnya. Dalam sesetengah keadaan, hal ini akan mendorong peminjam tadi untuk menyegerakan pembayaran hutangnya sebelum saman yang dimulakan itu tadi masuk ke peringkat yang seterusnya. Apabila nanti proses saman ini telahpun sampai ke peringkat seterusnya, peminjam akan terpaksa pula membayar perkhidmatan guaman dan menampung kos-kos lain yang akan menyebabkan lebih banyak wangnya perlu dibelanjakan. Kadang kala tak perlu untuk sampai memfailkan saman, hanya cukup ketika menghantar notis untuk menuntut sahaja peminjam akan segera menghubungi pemberi pinjam untuk membuat penyelesaian luar mahkamah atau disebut sebagai “settlement”. Ini adalah salah satu kelebihan jika anda serius ingin menuntut hutang di mahkamah sivil.
- Kelebihan dari Segi Pengurangan Cukai Yang Perlu Dibayar Dalam Perniagaan.
Dari sudut perniagaan, apabila anda menawarkan perkhidmatan atau menjual barang, perkhidmatan yang telah diberikan dan juga barang yang telah disampaikan kepada pelanggan itu merupakan jualan anda dan invois jualan (sale invoice) akan dikeluarkan. Invois jualan ini pada hujung tahun akan dikira sebagai pendapatan dan pendapatan ini berbeza dengan jualan yang tidak dibayar balik kerana dikira sebagai hutang yang tertunggak bila anda memfailkan saman dan mendapat keputusan. Pendapatan tersebut akan bertukar daripada pendapatan yang merupakan aset menjadi liabiliti. Tambahan juga segala kos perundangan untuk mendapatkan pelaksanaan penghakiman adalah perbelanjaan yang boleh ditolak. Secara tak langsung dapat mengurangkan keuntungan dan sekaligus mengurangkan cukai yang perlu dibayar berbanding tiada tindakan yang diambil langsung dan akan dikira sebagai keuntungan. Keadaan ini akan menambahkan lagi cukai sedangkan duit anda masih belum diperolehi selagi mana anda tidak membuat apa-apa tuntutan.
- Tindakan Pelaksanaan Insolvensi Dapat Dilaksanakan
Jika anda dapat memfailkan saman dan berjaya mendapatkan keputusan yang memihak kepada anda, maka defendan perlu membayar hutang yang dituntut. Jika tidak dibayar, defendan boleh dimufliskan dan segala asetnya akan diambil alih oleh Jabatan Insolvensi lalu dicairkan dan diserahkan kepada pemberi pinjam semula. Begitu juga halnya bagi syarikat, segala aset syarikat akan dicairkan melalui proses likuidasi untuk membayar kembali hutang yang telah dibuat. Apabila selesai proses pembayaran dan hutang dilangsaikan barulah individu atau syarikat tadi boleh membuat pelepasan kebankrapan. Tindakan insolvensi ini hanya boleh dilakukan sekiranya anda membuat tuntutan hutang di mahkamah.
5 KEKURANGAN MENUNTUT HUTANG DI MAHKAMAH SIVIL
- Kos Tinggi
Jika anda ingin memfailkan saman di mahkamah yang melibatkan peguam, kosnya akan menjadi tinggi hingga boleh mencecah RM5000, RM10,000, atau RM15,000 dan lebih tinggi. Ini kerana terdapat persediaan rapi yang perlu diuruskan oleh peguam termasuklah menyediakan dokumentasi untuk difailkan ke mahkamah, membuat pengurusan kes, pemfailan dokumen-dokumen keterangan, menyediakan penyata-penyata saksi, menghadiri perbicaraan dan sebagainya sememangnya memerlukan kos yang tinggi. Sekiranya kos guaman melebihi nilai tuntutan, kemungkinan anda perlu mempertimbangkan semula perancangan anda untuk memulakan saman atau anda boleh mencari mana-mana peguam yang boleh memberikan nasihat secara pro bono. Sekiranya tuntutan anda kurang daripada RM5000.00, anda sebenarnya boleh membuat tuntutan sendiri dengan mengisi borang tertentu. Mahkamah akan memberi nombor kes dan memanggil anda untuk memberi penjelasan di Mahkamah termasuklah pemiutang dan kebiasaannya keputusan akan diberikan terus.
- Mengambil Masa Lama
Adakalanya kes tuntutan saman ini mengambil masa sehingga setahun atau dua tahun bergantung pada keadaan tertentu. Hal ini bergantung juga kepada bilangan kes yang sedang berlangsung di suatu mahkamah. Kadang kala tempoh masa menjadi semakin panjang akibat daripada proses semasa prosiding itu berlangsung seperti penangguhan dan sebagainya. Pelbagai lagi perkara yang mungkin menjadikan proses tuntutan saman menjadi panjang. Pertimbangan perlu juga diberikan adakah tuntutan yang hendak anda tuntut itu perlukan kadar yang cepat dan segera atau adakah anda mampu menunggu proses tuntutan selesai dan tiada kekangan masa lain.
- Masalah Dokumen dan Bukti yang Tidak Lengkap
Antara masalah yang timbul apabila ingin menuntut hutang adalah masalah dokumen yang tidak lengkap. Kebanyakan pinjaman dilakukan secara mulut tanpa sebarang perjanjian ataupun barang yang dijual diberikan tanpa ada pesanan, invois atau tanda tangan yang dikeluarkan terlebih dahulu. Keadaan ini menjadikan tuntutan anda semakin rumit yang kemungkinan mendatangkan risiko untuk gagal dalam tuntutan. Apabila dokumentasi tidak lengkap atau berterabur maka tuntutan boleh ditolak oleh mahkamah. Jika anda tidak mempunyai dokumentasi bukti yang jelas dan cukup kuat, maka bukti-bukti melalui keterangan lain perlu disediakan. Walau bagaimanapun, usah bimbang sama ada hutang tersebut mempunyai dokumen ataupun tidak, peluang untuk memenangi tuntutan hutang masih ada.
- Penghutang Tidak Mempunyai Aset Lain
Wujud risiko apabila tuntutan dah dibenarkan tetapi penghutang memang langsung tidak mempunyai apa-apa aset atau mempunyai aset tetapi sedikit. Ini menjadikan meskipun anda telah menang namun anda masih tidak boleh memperoleh semula jumlah yang dituntut kerana tiada apa yang tinggal lagi pada penghutang. Adapun tindakan yang boleh diambil keatas penghutang adalah tindakan kebankrapan dan penghutang perlu membayar kepada anda sekiranya penghutang mempunyai wang untuk membayarnya. Amat penting untuk anda mendapatkan nasihat peguam anda tentang bagaimana untuk menyemak kemampuan si penghutang untuk membayar hutang anda sebelum anda memulakan tuntutan.
- Risiko Defendan Menyaman Semula Melalui Saman Tuntutan Balas Kepada Plaintif
Ada keadaan dimana defendan pula mengemukakan tuntutan saman balas terhadap plaintif yang membuat tuntutan hutang kerana defendan ingin menuntut perkara yang tidak disempurnakan oleh plaintif kepada defendan. Apabila berlaku perkara seperti ini maka terjadilah dua saman yang saling bertentangan. Keadaan seperti ini terjadi apabila anak guam datang berjumpa peguam dan hanya menceritakan hal yang betul dipihaknya saja. Amat penting bagi anda untuk memahami keadaan anda dan keadaan serta situasi orang yang hendak disaman sebelum anda memulakan apa-apa tuntutan agar risiko seperti ini dapat dielakkan.
Want to have a free first consultation?
Siraaj Liana & Partners understands the sheer financial burden of having to see a lawyer, especially in times of financial restriction. As part of our campaign to make seeing a lawyer more affordable, we offer Free First Consultation. At the Free First Consultation, you will meet or via online meeting with our legal professional to refer and discuss your legal matter.
After understanding your situation, we will discuss with you how we can assist you, and provide you with a written estimate of costs upfront. Transparency is as important to us as it is to you.
Recent Comments